TENTANG BAGINDA MUCHTAR - sekedar catatan
Headlines News :
Home » , » TENTANG BAGINDA MUCHTAR

TENTANG BAGINDA MUCHTAR

Written By Unknown on Minggu, 03 Agustus 2014 | 10.31

BAPAK BAGINDA MUCHTAR

SEPATAH KATA DARIKU

Kupersembahkan karyaku (risalahku) ini bagi mereka peminatpeminat yang masih dalam mencari-cari akan keakuannya, dan seterusnya mencari jalan untuk dapat mengenal akan diri sendiri, dan terutama kuhidangkan untuk anak-anak didikku, anak-anakku yang telah mendapat dan menerima aliranku dan yang telah bergerak di bidang ilmu pengetahuanku dan yang telah dapat banyak merasakan akan manfaatnya ilmu pengetahuanku dengan mengamalkannya.

Mengingat akan pengalaman-pengalaman yang sudah-sudah dan pengertian yang belum begitu mendalam difahami oleh kebanyakan anak didikku, maka kucubalah menyusun dan merangkaikan karyaku ini dengan tujuan untuk lebih lekas dapat difahami dan dapat dimengerti lebih mendalam, kerana janganlah hendaknya ilmu pengetahuan yang telah diperdapat atau diterima melalui badan diriku bertaklid padaku atau terlampau dipergantungi padaku yang dianggap sebagai Bapak atau guru, malahan tujuanku terutama supaya dapat berdiri sendiri pada keakuan dan ilmu masing-masing.

Maka tak apalah rasanya bagi mereka yang sangat bergantung padaku, pada keakuanku selama ini, adalah karyaku ini untuk sebagai petunjuk dalam membimbing dari keakuanku kepada keakuan sendiri masing-masing.

Harapanku semoga dengan berhasilnya mereka menemui ‘Aku’- nya sendiri dan dapat serta sanggup berdiri sendiri pada diri yang sebenarnya diri, tercapailah hendaknya tujuanku hendak ‘melahirkan manusia baru sampai dapat tercipta dunia baru dengan masyarakat baru’ yang menjalankan kehidupan berlahir dan berbatin.

Dan terhadap Tuhan, kututup ‘Sepatah Kata’ dariku ini dengan menyusun jari yang sepuluh, menghunjamkan lutut nan dua, menundukkan kepala yang satu, memohon ampun kepada-Nya.
Apakah sebenarnya kebatinan itu? Pada umumnya, orang menganggap adalah apa yang dinamakan kebatinan itu, iaitu yang tak nampak atau sesuatu yang keadaannya tak nyata. Dan bagi mereka yang telah banyak pengalaman dan berbuat terhadap dan dengan kebatinan, maka orang dan dia sendiri menamakan dirinyaseorang ahli kebatinan.

Sedari kecil aku sangat tertarik kepada ilmu kebatinan. Pernah aku perdapat yang berupa kata-kata yang harus dihafal atau isimisim yang akan dibacakan untuk digunakan pada saat-saat diperlukan. Dan pernah pula aku dijadikan anak angkat oleh seseorang yang kemasukan (trance) untuk mendapat benda atauuntuk keperluan sesuatu.

Kesemua itu aku terima bukan untuk begitu saja dipercayai dan diyakini, melainkan aku terima untuk ingin mengenal dan mengetahui. Pelajaran yang kuterima pada umumnya, kata-katanya seperti orang berpantun saja dan ada pula ayat-ayat Quran yang harus dibaca umpamanya untuk keperluan sesuatu.

Selalu bila ada waktu terluang, tak habis-habisnya aku berfikir atau memikirkan apa hubungannya itu kata-kata atau ayat-ayat dengan sesuatu yang dihadapi atau yang akan dihadapi bila diperlukan. Ditanyakan kepada orang yang memberinya (guru) mendapat jawapan tidak memuaskan, dan kesimpulannya kita harus meyakini dan membawakannya saja, habis perkara.

Akan tetapi, jiwaku tidak puas menerima saja cara begitu dan begitulah segalanya itu selalu menjadi buah pemikiranku. Apa memang adakah hubungannya, kait-mengaitnya satu sama lain? Keakuanku tak dapat begitu saja menerimanya secara kenyataan.

Walaupun dalam perjalanan kehidupanku (pengalaman) banyak terjadi dan tersua olehku yang aneh-aneh, akan tetapi kesemuanya itu kuanggap sebagai satu kebetulan saja. Akan tetapi sungguhpun begitu, segala sesuatunya itu tetap menjadi buah pemikiran bagiku untuk memecahkannya.

Dan di antara kata-kata yang berupa pantun-pantun yang kuterima itu atau yang diturunkan orang padaku itu, yang amat menarik bagiku ialah permulaannya selalu dengan menyebut nama Allah iaitu ‘Bismillah al-Rahman al- Rahim dan pada penutupnya selalu dengan, “Berkat kalimah Lailaha ill-Allah.”

Sebagai seorang yang beragama, tentu aku percaya akan adanya Tuhan dan Yang Ghaib. Akan tetapi bagaimanakah hubungannya Yang Ghaib dengan diri sendiri? Dan apa sebenarnya Yang Ghaib itu dan apa benar adakah Yang Ghaib itu?

Tuhan tentu tak dapat dikaji sedalam-dalamnya, bukan? Sebagai seorang beragama wajib percaya akan ada-Nya. Akan tetapi Yang Ghaib, bagaimanakah keadaan-Nya? Berupakah atau tenagakah dia?

Pada umumnya, pengertian ghaib iaitu tidak nampak atau tidak nyata. Begitupun pula tenaga (daya) pun tidak nampak, akan tetapi sewaktu-waktu seseorang dapat merasakannya sehingga sampai orang menamakannya ‘tenaga ghaib.’ Tenaga ghaib sudah pasti terbitnya dan timbulnya dari yang ghaib atau tenaga dari yang ghaib (sesuatu yang tidak nyata).

Apakah sebenarnya kebatinan itu? Dan sampai di manakah tingkatan ilmu pengetahuan seorang ahli kebatinan? Mungkin berlain-lain pandangan seseorang mengenai kebatinan dan ilmu kebatinan. Masing-masing akan mengatakan dia yang benar dan lebih benar dari yang lain. Yang Maha Benar ialah Tuhan.

Terlepas dari kebenaran seseorang memahami kebatinan dan ilmu kebatinan, maka ini aku huraikan fahamku sendiri tentang soal kebatinan dan ilmu kebatinanku dengan jalan mengupas dan meneliti batinku sendiri sampai aku dapat mengenal diriku sendiri, serta memecahkan akan rahsia-Nya sehingga dapat aku mengatakan, “Rahsia-Nya telah menjadi rahsiaku.”

Dalam-dangkalnya kebatinan seseorang bergantung pada dasar dari ilmu kebatinannya sendiri dan kelebihan seseorang akan kelihatan pada tindak-laku perbuatannya atau di waktu bertemu satu sama lain yang golongannya termasuk ahli kebatinan atau pada waktu mengamalkan ilmu pengetahuannya.

Pengalamanku yang bertahun-tahun dalam perjalanan mengamalkan apa yang ada padaku, terutama di bidang pengubatan, membebaskan diri seseorang dari kesulitan-kesulitan yang dialami, tekanan-tekanan perasaan dan lain-lain, bahkan sampai kepada menurunkan ilmu pengetahuanku pada mereka yang berminat hendak mengamalkan pula seperti apa yang kuamalkan, pengalaman-pengalaman yang aneh-aneh yang tadinya tak diduga sebelumnya yang tak makan di akal akan bisa terjadi tetapi terjadi, menyebabkan aku tak habis-habisnya berfikir dan merenungkan apa yang telah ada pada diriku itu sehingga mendatangkan kemahuanku yang teguh untuk mengetahuinya lebih mendalam dan aku sangat ingin memecahkannya secara ilmiah dan bukan secara mistik (yang harus menerima dan mempercayainya saja).

Aku yang tadinya belum tahu, dengan mengingat dan mempelajari kembali apa yang telah terjadi pada waktu aku mengamalkan apa yang ada padaku, dengan beransur dan teratur telah menjadi tahu. Walaupun belum keseluruhannya aku tadinya belum mengerti padanya, lambat-laun telah menjadi mengerti walaupun belum keseluruhannya. Sampai akhirnya, aku dapat mengenal dan menemui diriku sendiri dengan rahsia yang terkandung padanya sehingga rahsia-Nya telah menjadi rahsiaku pula, sehingga kedudukanku (bagaimana aku sebenarnya) aku rahsiakan pula.

Siapa yang dapat memecahkan rahsiaku? Terserah pada yang tahu dan Yang Maha Tahu adalah Tuhan.

Bagaimana caranya aku dapat mengenal dan menemui diri sendiri? Pengalamanku yang bertahun-tahun melakukan sesuatu untuk sesuatu, mencari sesuatu dengan sesuatu, menyimpulkan bagiku bahawa untuk tujuan sesuatu, untuk mendapatkan sesuatu, seseorang harus mengembara mengadakan dan melakukan perjalanan zahir dan batin kerana dalam perjalanan pengembaraan itu, bermacam-macam pengalaman yang akan diperdapat kerana akan bermacam-macam pula keadaan dan kejadian yang akan ditemui dan dilalui, kerana lain padang lain belalang, lain lubuk lain pula ikannya dan akan bermacam-macam pula pelajaran akan diperdapat berkat dari pengalaman-pengalaman yang telah tersua terhadap badan diri sendiri dan terhadap diri orang lain yang menghubungi atau yang berhubung dengan diri kita.

Dan tak dapat dimungkiri, bahawa untuk mendapat dan mengetahui sesuatu, seseorang harus mempunyai cara atau metode (method), analisa atau pemecahan, yang mana sebahagian besar orang menamakan tarekat. Tarekat bererti jalan. Sesuatu jalan yang dijadikan amalan untuk mendapatkan sesuatu.

Tarekat apa yang kupakai atau apa dan bagaimana jalanku? Aku tak bertarekat seperti orang bertarekat, melainkan aku mempunyai jalan sendiri yang aku perdapat dan temui setelahnya aku banyak berbuat dan berlaku di waktu aku mengadakan perjalanan pengembaraan. Dan setelahnya aku dapat mengenal dan mengetahui akan jalan yang telah aku perdapat itu, dan denganpengalaman bertahun-tahun berjalan pada jalan tersebut, maka dapatlah aku mengatakan bahawa adalah jalan yang ada padaku itu antara lain ialah jalan untuk mengenal diri sendiri, dan terhadap orang banyak aku dapat mengatakan bahawa adalah tarekatku, tarekat untuk mengenal diri sendiri.

Dan begitulah aku dapat mengisahkan, kisah hasil perjalananku sebagai seorang manusia awam mencari seorang hamba Allah yang menamakan ‘Aku’ terhadap badan dirinya, yang bagi setiap orang tempatnya dan letaknya terahsia sebelum dapat menemuinya di tempatnya.

Wabillahitaufiq walhidayah


SEJARAH BAPAK DR. BAGINDO MUCHTAR
Muchtar bin Uddin atau lebih dikenali sebagai Bapak Dr. Bagindo Muchtar, Ph.D. adalah pengasas (founder) Ilmu Mengenal Diri. Rujukan utama kepada pengetahuan Mengenal Diri yang beliau pelopori terkandung di dalam buku beliau yang bertajuk 'Diriku Yang Kukenal.' Buku ini adalah tesis yang melayakkan beliau untuk dianugerahkan ijazah kedoktoran (PhD) oleh St. Olav Academy, Perancis.
Bapak Dr. Bagindo Muchtar dilahirkan pada tahun 1916 di Pariaman, Padang, Sumatra. Ayahnya seorang dukun yang terkenal di daerah Pariaman dan seperti lain-lain dukun tradisional Melayu, beliau menggunakan serapah jampi dan mantera dalam upacara pengubatannya. Dalam tesisnya Bapak Dr Bagindo Muchtar merakamkan bahawa beliau pernah dijadikan anak angkat "oleh seseorang yang kemasukan untuk mendapat benda atau untuk keperluan sesuatu". Nyatalah bahawa sejak zaman kanak-kanak lagi beliau sudah terdedah kepada suasana mistik dan kebatinan, justeru tidak menghairankan juga jikalau Bapak Dr Bagindo Muchtar ikut tertarik kepada hal-hal kebatinan.
Bapak Dr. Bagindo Muchtar menjadi seorang anak yatim sejak kecil lagi. Beliau mempunyai bapa tiri (apabila ibunya menikah lagi) yang menurut beliau sendiri "boleh dikatakan sayang tidak, benci pun tidak". Ibunya bagaimanapun sangat menyayangi beliau, kerana beliaulah anak lelaki yang sulung dan kepadanya terletak harapan di hari-hari tuanya. Bapak Dr Bagindo Muchtar mempunyai seorang adik kandung lelaki dan seorang adik perempuan dari lain bapa. Pada ketika iktisar ini ditulis, adik perempuannya tinggal di luar kota Jakarta. Sungguhpun demikian, ibunya yang dikasihi telah pulang ke Rahmatullah sebelum sempat beliau memenuhi segala harapan dan cita-citanya.
Pada tahun 1935, iaitu ketika berusia 19 tahun dan baru tamat sekolah Belanda (IH), beliau telah merantau keluar dari daerah Padang. Destinasi pertamanya ialah Jambi dan di sana beliau bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat minyak. Peningkatan dalam bidang pekerjaannya sangat mendadak sehingga dalam tempoh yang singkat ditukar ke bahagian carigali minyak di tengah hutan belantara Jambi. Sungguhpun begitu, kiriman wang kepada ibunya saban bulan tidak pernah putus.
Pada tahun 1938 beliau diijabkabulkan dengan anak pamannya (bapa saudaranya) yang bernama Nurmali Syamsudin dan mereka dikurniakan tiga orang anak yang kesemuanya perempuan; yang sulung Hajjah Elly Salam Ghani, Hajjah Mulyati Djonhar yang tengah dan Suryati Muchtar yang bongsu.
Dari Jambi Bapak Dr. Bagindo Muchtar dan keluarganya berpindah ke Palembang dan bekerja dengan Bata Shell Petrolium Maskapai (BPM). Setelah kira-kira 20 tahun bekerja di Palembang, satu peristiwa aneh telah berlaku ke atas dirinya; ada suara menyuruh beliau berhenti kerja. Suara itu berturut-turut datangnya hingga ke beberapa hari, lantas menimbulkan tanda tanya, apa maksud kesemua ini?
Kejadian aneh itu direnung, ditenung dan ditimbang, sehingga beliau memutuskan untuk berhenti kerja. Kali pertama beliau menemui majikannya untuk minta berhenti kerja, permohonannya ditolak begitu sahaja dengan alasan bahawa tenaganya masih diperlukan. Dicuba lagi kali kedua, namum ditolak juga dengan alasan yang sama.

Sampai satu ketika beliau memperolehi akal untuk mendapatkan surat doctor bagi ‘mengesahkan’ bahawa beliau sakit dan tidak boleh berkerja lagi. Dengan surat pengesahan itu, permohonan beliau untuk berhenti kerja diterima dan diberi pula ganjaran (gratuity) yang agak lumayan oleh majikannya. Dengan wang ganjaran berkenaan beliau bersama keluarganya pindah ke Jakarta dengan tujuan untuk membeli sebuah rumah dan dengan wang selebihnya pula beliau mahu berdagang.

Beliau mendapati bahawa kota Jakarta tidak sesuai baginya, lalu terus ke Bogor. Bogor memikat hatinya, apa lagi dengan suasananya yang aman, udaranya yang nyaman dan tenteram pula. Cita-cita membeli sebuah rumah untuk keluarganya tercapai di Bogor. Meskipun baki wang ganjaran itu tidak banyak, beliau masih boleh jadikan wang untuk berdagang.
Kehendak dari kita, namun ketentuan hanya dari Tuhan. Di Bogor beliau menghadapi cubaan yang sangat berat, iaitu apabila isterinya (Ibu Nurmila Syamsudin) jatuh sakit dan kemudian meninggal dunia “akibat dari buatan ahli keluarga isterinya sendiri dengan dibantu oleh seorang dukun; katanya mengubat akan tetapi kenyataanya tambah memperdalamkan penyakitnya”. Isteri dikasihi dan dicintainya, yang banyak tahu dan mengerti padanya, dan yang telah bergaul sebagai suami isteri kira-kira 17 tahun, dengan suka duka mereka lalui bersama, meninggal pada hari Isnin 27 Februari 1955.

Dicatatkan oleh Bapak Dr. Bagindo Muchtar bahawa sebenarnya rencana dari pihak ahli isterinya itu adalah terhadap badan dirinya dengan tujuan untuk dapat menguasai apa yang ada padanya. Mereka mengsyaki beliau memiliki banyak harta simpanan seperti emas dan sebagainya. Namun begitulah, beliau sendiri yang dituju, isteri tercinta pula yang jadi mangsa tak berdosa.
Setelah isterinya meninggal, timbul pula tuduhan terhadap dirinya bahawa beliau adalah punca isterinya jatuh sakit dan meninggal dunia. Malah diperkatakan pula bahawa beliau sendiri membunuh isterinya. Keterangan-keterangan daripadanya tidak diendahkan oleh masyarakat sekeliling, bahkan adik kandungnya sendiri tidak memihak kepadanya.

Dalam thesis Bapak Dr. Bagindo Muchtar mencatatkan “… kerana telah terlebih dulu dikuasai dan dipengaruhi oleh pihak dukun dan ahli keluarga isterinya.” Tambah Bapak lagi “… beliau dihukum tanpa diadili, tidak bersalah dikatakan bersalah, kemerdekaan dirampas dan harta-benda yang tak seberapa dikuasai pula.”
Tubuhnya pada waktu itu sangat letih dan lemah kerana menghadapi peristiwa yang berlaku terhadap badan dirinya dan isterinya; berjaga-jaga siang dan malam, menangkis segala macam serangan yang datang. Dikala itu beliau berasa seolah-olah ada yang mendampinginya, iaitu yang ghaib melindunginya untuk bisa bertahan bagi menghindar hal-hal yang tidak baik terhadap badan dirinya.

Malah dikala itu juga, beliau berasa hubungannya dengan Tuhan sungguh dekat, kerana ingatan serta pasrah semata-mata kepada-Nya. Pada waktu itu beliau hanya bertekad mahu menuntut keadilan. Namun keadilan itu tidak mungkin diperolehi dari masyarakat. Beliau tidak mengadu hal yang berlaku kepada pihak polis, kerana semua hal tidak mempunyai bukti yang nyata. Justeru, beliau bertekad mencari Tuhan semata-mata hendak menemui-Nya untuk memohon keadilan. Hanya itulah tujuannya waktu itu; menemui Tuhan untuk minta diadili, memohon keadilan semata-mata.
Sesudah selesai sembahyang maghrib pada satu malam Jumaat, beliau menadah tangan memohon keadilan kepada Allah s.w.t. Itulah usahanya memohon keadilan, seperti yang sudah sekian lama dilakukannya; berdoa kepada Tuhan semata-mata. Namun pada malam Jumaat itu, dia berasa tangannya seperti dikuasai oleh sesuatu denyut rasa yang aneh lalu kedua-dua belah tangannya bergerak, bergerak, bergerak dan bergerak.

Beliau tidak dapat menguasai (control) pergerakan itu, lalu dituruti pergerakan tangannya, sambil melafazkan “Lailaha il-Allah” dengan penuh kehairanan. Kejadian yang sama berulang-ulang pada malam kedua dan ketiga, malah beliau mula bercakap sendirian ketika ‘bergerak’. Dan beliau menyedari bahawa tenaganya mulai pulih, kesihatannya semakin baik dan fikirannya semakin mantap.

Apabila beliau dapati surat-surat penting seperti hakmilik rumah, barang-barang perhiasan, pakaian dan lain-lain barang berharga sudah tiada di almari, beliau mulai bertindak. Dengan perantaraan seorang sahabatnya, beliau minta disampaikan supaya kesemua barang-barang miliknya dikembalikan dalam waktu yang singkat. Malah beliau memberi amaran jikalau itu gagal dilakukan, beliau akan membawa persoalan ini kepada pihak polis.

Alhamdulillah. Pihak yang ‘memindahkan’ barang-barang berkenaan dari orang-orang tertentu telah bertindak memulangkan, meskipun tidak kesemuanya. Namun, perasaan tidak puas masih menyelubungi hatinya yang mahu kepastian dari seseorang yang lebih tahu mengenai peristiwa yang telah beliau hadapi; iaitu siapa yang benar dan siapa pula yang bersalah.
Seorang jiran menganjurkan supaya beliau menemui seorang ulama besar di Jawa Barat, yang sering didatangi orang dan pembesar-pembesar, pun tidak ketinggalan alim ulama dan konon khabarnya satu-satunya ahli falak yang terpandai dan ternama di Indonesia. Beliau diberitahu oleh ulama berkenaan bahawa dalam perkara itu memanglah beliau di pihak yang benar dan pihak yang melakukan kerja jahat (dalam kes almarhum isterinya) adalah ahlinya sendiri.
Sejak itu mulailah ada ketenangan dalam hatinya, namun rasa ingin membuktikan kebenarannya tatap masih terkesan dihatinya. Bersama anak-anaknya beliau pulang ke kampung halaman iaitu di Pariaman, Padang. Namun puteri-puterinya yang masih kecil sering pula bertanyakan mengenai ibu mereka. Bapak Dr. Bagindo Muchtar tidak sampai hati mendengar pertanyaan-pertanyaan anak-anaknya yang masih kecil, lalu memutuskan untuk menikah lagi iaitu dengan Ibu Hajjah Hasnah. Ibu Hasnah bagaimanapun tidak mempunyai anak dengan Bapak Dr. Bagindo Muchtar.
Sesudah sebulan bernikah, Bapak Dr. Bagindo Muchtar mengambil keputusan untuk merantau bersama-sama dengan Ibu Hajjah Hasnah dan ketiga-tiga orang puterinya. Kali ini mereka sekeluarga pergi ke Jambi. Di Jambi, Bapak bekerja disebuah syarikat carigali minyak. Seorang teman sejawatnya telah meminta pertolongan Bapak untuk mengubat isterinya yang sakit sudah hampir dua tahun lamanya; sakitnya akibat perbuatan jahat.

Pada temannya itu dia melihat kembali peristiwa yang pernah dialaminya sendiri. Beliau berasa sedih lalu memberi pertolongan kepada isteri temannya. Sesudah satu bulan, dengan izin Allah, isteri temannya kembali pulih seperti biasa. Beliau bagaimanapun menasihati temannya supaya meninggalkan Jambi, kerana temannya punya banyak musuh di Jambi. Justeru menghindar adalah lebih baik, Bapak sekeluarga dan temannya itu berpindah ke Medan. Di Medan temannya tinggal di rumah keluarganya sendiri, sementara Bapak sekeluarga pula tinggal di rumah keluarganya sendiri.
Di Medan, nama beliau mulai disebut-sebut orang, khususnya dalam bidang tolong-menolong, sosial atau di bidang perubatan. Tidak berapa lama di Medan, peristiwa ghaib yang beliau alami semasa di Bogor sewaktu isterinya baru meninggal dialami kembali. Beliau mulai bercakap-cakap bersendirian dan tidak mahu makan, malah minum kopi hanya seteguk sahaja.

Apa yang diperlakukan orang terhadap badan dirinya diceritakan kesemuanya, sampai keluarganya di Medan menganggap beliau sudah tidak siuman lagi. Namun, kejadian-kejadian pelik itu juga menyebabkan beliau mula dikenal oleh bomoh-bomoh, pawang-pawang, orang-orang kebatinan dan sebagainya. Tidak kurang juga ada yang mencuba atau menguji dengan ilmu atau kepandaian masing-masing.

Tetapi Alhamdulillah, dengan izin Allah, cubaan, ujian atau dugaan mereka tidak menjejaskan, malah ‘tenaga ghaib’ anugerah Allah itu dapat diketahuinya dengan lebih mendalam. Namanya terus jadi sebutan masyarakat sekeliling, malah mereka tidak lagi mendatangi bomoh atau pawang di daerah itu. Sebaliknya mereka datang kepada beliau. Hal ini tentulah menimbulkan rasa tidak senang dan iri hati bomoh dan pawang di daerah itu terhadapnya.
Bapak Dr. Bagindo Muchtar bagaimanapun tidak duduk di rumah sahaja, tetapi mengembara dari satu daerah ke satu daerah di seluruh pulau Sumatera; ke Palembang, Siantar, Tebing Tinggi, Pelabuhan Miri, malah ke seluruh daerah atau jajahannya. Apabila kembali ke Medan, beliau melapangkan masa menemui orang-orang yang datang meminta tolong, sementara pada malam harinya pula dikhaskan untuk membimbing, memberi kuliah, berjalan bersama-sama dengan murid-muridnya. Sejak itu beliau dikenali di Medan sebagai ahli sarjana atau ahli ilmu tasawuf.
Setelah dua tahun di Medan beliau sekeluarga berpindah ke Padang. Kira-kira dua bulan di Padang, beliau pindah pula ke Palembang. Disana beliau terus mengajar dan memberi pimpinan kepada orang-orang yang berminat dengan ilmunya. Di sinilah (kira-kira tahun 1958) beliau mula menulis/mengarang bukunya ‘Diriku Yang Kukenal.’ (Penulisan buku ini tamat kira-kira 10 atau 11 tahun kemudian dan dikemukakan ke St. Olav’s Academy, Perancis, sebagai tesis untuk melayakkannya memperolehi ijazah ‘Doctor of Philosophy’ yang diterimanya pada hari sabtu 12 Jun 1971)
Beliau masuk ke Singapura pada tahun 1960 dengan perantara Nasir Adnin dan pada kali keduanya ke Singapura beliau bersama Nasir masuk ke Malaysia (Tanah Melayu) melalui Johor Bahru dan kemudian terus ke Melaka, Kuala Lumpur dan lain-lain. Apabila berlaku konfrantasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1963, beliau yang ketika itu berada di Malaysia terpaksa balik ke Indonesia bersama Nasir melalui jalan darat dari Sabak Bernam ke Kelantan, Golok, Narathiwat dan terus ke Bangkok. Dari Bangkok mereka menaiki kapal membawa beras ke Jakarta.
Apabila konfrantasi berakhir pada tahun 1966, beliau bersama Nasir datang semula ke Singapura dan Malaysia. Sejak itu Bapak semakin kerap datang ke kedua-dua negara berkenaan secara bersendirian. Namun, pada pertengahan 1971, beliau dilarang masuk ke Singapura. Beberapa orang ‘anak didik’ Bapak Dr. Bagindo Muchtar sendiri dikatakan telah membuat laporan yang menyebabkan pihak Imigresen mengambil ketetapan untuk melarang kemasukan beliau ke negara berkenaan.
Pada tahun 1972, beliau sekeluarga pindah ke Jakarta dan sering berulang-alik ke Malaysia, apatahlagi semasa suami kepada anak yang sulung, Haji Salam Ghani berkhidmat di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur. Pada tahun 1973, iaitu ketika dalam siri lawatan ke Malaysia dan sewaktu mahu berangkat pulang ke Jakarta, beliau mengalami muntah darah.

Keberangkatan pulang dibatalkan dan beliau dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur oleh anak dan menantunya Haji Salam Ghani. Beliau kemudian dipindahkan dari rumah Hospital Besar Kuala Lumpur ke Hospital Lady Templer, Cheras. Beliau tinggal di hospital berkenaan selama dua bulan. Walaupun dibenarkan pulang ke Indonesia, beliau sering datang ke Kuala Lumpur untuk mengambil ubat dan menemui orang-orang kepercayaannya iaitu Haji Kamarudin Amin, Haji Jamil Samad, Mejar (B) Haji Abdul Rahman Ibrahim.
Pada tahun 1975, beliau ke Malaysia dalam rencana lawatan selama dua bulan. Namun baru sebulan sahaja berada di Malaysia, beliau mengambil keputusan untuk kembali ke Jakarta. Sekembalinya dari lawatan itu, beliau jatuh sakit, tetapi masih berhasrat untuk ke Malaysia semula.

Pada malam hari raya Aidilfitri beliau mulai payah bernafas dan pada keesokkan harinya dimasukkan ke rumah sakit. Beliau ditempatkan di wad jantung selama dua hari. Pada hari Jumaat 10 Oktober (jam 04.00 pagi waktu Jakarta), dihadapan isteri keduanya Ibu Hajjah Hasnah, ketiga-tiga puterinya, menantunya Haji Abdul Salam Ghani dan seorang anak didiknya bernama Ibu Yasmimar Alwi, Bapak Dr. Bagindo Muchtar pulang ke Rahmatullah.
Biodata ini dipetik dari:
Koleksi Kuliah Edisi 2003 Pulau Pinang
oleh Mejar (B) Haji Abdul Rahman Ibrahim (Allahyarham)


SAJAK - SAJAK BAPAK DR. BAGINDOMUCHTAR


A K U
Kalau engkau mengatakan aku
Artinya engkau dengan Badan diri
Kalau aku menyebut aku
Maka adalah itu aku sendiri


Aku adalah engkau
Akan tetapi engkau bukan aku
Kita adalah dua
Walaupun satu tiada kenyataannya


Dirimu adalah diriku
Badanmu adalah Badan ku
Aku ada padamu



MANA JALANKU?
Aku melihat orang berjalan
Dalam pada itu aku pun berjalan
Jalan orang jalan nyata
Jalan ku tidak nyata


Ku lihat orang berjalan di jalannya
Aku pun ikut berjalan besertanya
Dia sampai ditujuannya
Tetapi aku di situ ke situ juga


Manakah yang benar
Jalan orangkah atau jalanku
Kedua duanya benar
Kerana kedua duanya perlu


Bagi orang, jalan ku gelap
Bahkan aku di anggap barang mati
Bagi ku jalan ku tidak gelap
Hanya orang yang tak mau mengerti


Bagiku jalan orang jalan nyata
Jalanku jalan tidak nyata
Satu sama lain berbeda
Jalan aku dan jalannya


Orang berjalan di jalanraya
Jalan bikinan tangan manusia
Naik mobil, kereta api, kapal laut dan udara
Bagiku itu namanya menumpang dijalannya


Namun aku, walau dimana saja
Di lautan, di daratan
Dan di udara
Namun jalanku tidak ku lupakan



DIA DAN AKU
Dia berjalan aku pun berjalan
Kami bertemu di perjalanan
Sama sama berjalan
tetapi berlainan arah tujuan


Dia di kiri aku di kanan
Dia di luar aku di dalam
Dia berhenti aku pun berhenti berjalan
Seiring bertukar jalan


Dia ingin hendak menemui aku
Di perjalanan kami bertemu
Dalam berjalan dia melihat aku
Di waktu dia berhenti maka hilang lah aku


Wahai insan yang hendak mencari aku
Aku selalu berada besertamu
Aku jauh dalam tangkapan mu
Pada hal aku sangat dekan padamu



ENGKAU DAN AKU
Kalau engkau hendak menemui aku
Turutilah jalan ku jangan jalanmu
Jalanmu jalan nyata
Jalan ku jalan rasa


Berjalanlah engkau pada jalanmu
Dan aku akan berjalan pula pada jalanku
Ushakan kita sejalan, engkau dan aku
Supaya tercapai yang di tuju


Kalau engkau mengatakan kita sejalan
Engkau harus dapat membuktikan
Bukti yang dimaksudkan
Ialah kesanggupan untuk menurutkan.


Engkau mempunyai keinginan
Aku mempunyai kesanggupan
Engkau  di luar aku di dalam
Tempat mu di kiri aku di kanan


Berjalanlah engkau pada jalanmu
Untuk menjumpai aku lebih dahulu
Dalam perjalanan kita bertemu
Engkau dan aku


Aku yang engkau jumpai diperjalanan
Tidak akan engkau perdapat, kalau engkau tak bukar haluan
Kerana disaat itu aku keluar engkau ke dalam
Dan untuk mendapat aku, jalanku yang akan di turutkan


Berjalan pada jalanku
Berarti engkau besertaku
Dengan jalan itu engkau akan dapat mengenal aku
Aku yang selama ini terahsia bagi mu
.


ENGKAU – DIA – dan  AKU
Dia dan engkau bukan lah aku
Engkau dan dia sama bagiku
Sama sama hidup beserta aku
Yang selalu mendampingi ku


Satu di kiri satu di kanan
Masing masing melakukan tugas kewajipan
Biar siang atau pun malam
Selagi Hayat dikandung badan


Engkau yang selalu kekurangan
Berdampingan dengan dia yang berkelebihan
Dengan aku sebagai perantaraan
Untuk cukup mencukupkan


Engkau adalah tangan kiriku
Dia adalah tangan kananku
Aku adalah otakmu
Yang merencanakan segala sesuatu


Engkau pelaksana
Dia tenaga
Aku perencana
Satu sama lain kerjasama



ENGKAU – DIA – AKU dan SAYA
Padaku ada engkau dan dia
Padamua ada aku dan saya
Aku engkau dan dia
Tinggal bersama saya


Saya adalah seorang manusia
Aku terkandung dalamnya
Dia adalah seorang hamba
Hamba si pengembara


Maka adalah saya
Terdiri dari engkau aku dan dia
Satu, tetapi sebenarnya tiga
Kalau dipelajari sampai ke dalamnya


Begitulah pemecahanku
Mempelajari akan keadaanku
Pemecahan yang menghadilkan pemisahan
Antara diri dan badan



PEMECAHANKU
Dalam perjalanan ku untuk mengenal diri
Aku melakukan pemecahan sendiri
Dengan tidak menghiraukan petang dan pagi
Asal tercapai maksud di hati


Maksud hati hendak mencari diri
Diri yang berdiri sendiri
Yang amat erat hubungan dengan peribadi
Yang orang mengatakan nya “suci”


Telah lama aku berjalan
Pagi petang siang dan malam
Suatu perjalanan yang ku lakukan
Dengan gerak dan menggerakkan


Gerak datang dari aku, yang menggerakkan dia
Yang bergerak ialah saya
Suatu pemecahan satu jadi tiga
Yang menghasilkan pemisahan antara aku dan dia


Yang bergerak saya
Termasuk aku dan dia
Aku yang memisahkannya
Yang telah dapat memisahkan antara badan dan dia


Aku dengan badanku nyata aku dengan diriku tidak nyata
Badan dapat diraba
Diri hanya dapat dirasa

Rahsia diri ialah rahsiaku
Peristiwa diri ialah peristiwa aku
Badan diri dan aku
Bunyinya tiga, nyatanya Satu

Nyatanya aku satu

Aku badan dan diriku
Keluar bersatu padu
Ke dalam banyak orang belum tahu

Aku dengan badan ku positif nyata

Aku dengan diriku negatif tidak nyata
Samakah aku yang nyata
Dengan aku yang tidak nyata

Aku dengan kenyataan ku jadi manusia
Aku dengan ketidak nyataku berada di dalamnya
Di alam fikiran tempat aku yang pertama
Di alam perasaan tempat aku yang kedua

Ketahuilah oleh mu wahai insan
Aku yang pertama ialah aku yang di hidupkan
Aku yang kedua ialah aku yang menghidupkan
Yang mana yang benar, cuba fikirkan



SIAPA AKU
Aku yang dihidupkan jadi seorang manusia
Aku yang menghidupkan adalah seorang hamba
Bertugas sebagai si pengembara
Mengaliri seluruh batang tubuhnya


Mula pertama manusia diciptakan
Dari tanah dijadikan badan
“Aku tiup "Roh" ku” katanya Tuhan
Oleh kerananya timbullah hamba kemudian


Hamba yang timbul kemudian
Berjalan mengaliri seluruh badan
Tiada henti hentinya pagi petang, siang dan malam
Melakukan tugas kewajipan


Kewajipan ialah menghidupkan
Oleh kerana itu makanya hamba ku berjalan
Berjalan menurut aliran
Selagi hayat dikandung badan


Dengan demikian teranglah sudah
Perjalanan seorang hamba Allah
Dan aku adalah:
Kata Tuhan “"Roh" ku”, kata ku: “rohullah”
Share this article :

0 komentar:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Live Traffic

hitstat

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. sekedar catatan - All Rights Reserved
Template Design by Creating Website Published by Mas Template